Foto Instagram Linda Rafar.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Linda Rafar terpaksa merahsiakan daripada pengetahuan ibunya, Rasimah Abd. Rahman mengenai kehilangan tangan kirinya akibat jangkitan kuman yang telah merebak ke dalam darah.

Linda berkata, sebagai anak, dia tidak sampai hati untuk memaklumkan kepada ibunya bahawa tangan itu telah dipotong.

Ibunya yang berusia 73 tahun itu menjalani pembedahan pada pagi Rabu di Hospital Shah Alam, Selangor.

“Linda rasa sebak sangat-sangat pasal tangan mak yang kena gigitan serangga tiga bulan lepas dipotong sampai bawah siku.

“Mak belum tahu yang tangan dia dah tiada… Tak sampai hati nak beritahu dia,” tulisnya penuh emosi di Instagram.

Linda menambah sebagai anak dia tidak kuat mengharungi dugaan tersebut namun percaya dugaan daripada Allah itu mempunyai hikmah tersendiri.

Anggota kumpulan Elite itu juga memohon agar pengikutnya di media sosial mendoakan ibunya kuat menghadapi dugaan tersebut dan kembali sihat seperti sediakala.

“Cuma apa yang Linda nak minta jasa baik semua tolong doakan mak Linda terus kuat dan sihat kembali macam dulu.

“Linda tak kuat harungi semua dugaan ini tapi Linda percaya setiap dugaan yang Allah beri pasti ada ganjarannya. Linda sayang mak Linda sangat-sangat. Love you mak,” tulisnya.

Sebelum ini, Rahimah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama akibat gigitan serangga dan menjalani pembedahan bagi membuang kuman.

Bagaimanapun minggu lalu, Rahimah mengadu sakit pada bahagian tangan tersebut sebelum doktor memberitahu jangkitan kuman sudah merebak ke dalam darah. – MalaysiaGazette