Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
Tajuddin Abdul Rahman

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengakui terdapat individu yang mahu menggulingkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, walaupun 100 peratus sokongan diberikan kepada presiden parti semasa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, tetapi keadaan di luar adalah berlainan.

Tajuddin turut mengakui bahawa terdapat banyak “cerita” sedang mengambil tempat dalam UMNO.

Berkenaan spekulasi bahawa Ahmad Zahid bersetuju untuk meletak jawatan pada Disember, Tajuddin menafikan perkara itu.

“Saya telah berjumpa dengan Ahmad Zahid dan beliau menyatakan bahawa tidak akan meletak jawatan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Katanya, Ahmad Zahid telah memenangi pemilihan parti yang dijalankan secara demokrasi dan tiada sesiapa boleh memaksanya untuk meletak jawatan melainkan ia dilakukan secara sukarela.

“Kenapa mahu beliau meletak jawatan? Memang ada yang tidak menyokong beliau, tetapi berapakah peratus sokongan yang diperoleh penentangnya?” katanya. – MalaysiaGazette