KUALA LUMPUR – Mana-mana ahli Parlimen UMNO yang ingin menyertai Pakatan Harapan (PH) tidak akan terlepas daripada hukuman sekiranya mereka terbukti melakukan salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa semasa pentadbiran lalu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, walaupun pihaknya sedia menerima mereka ke dalam PH namun bekas pemimpin UMNO perlu sedia menerima hukuman atas perbuatan lalu.
“Kita perlu lihat tindakan bekas pemimpin UMNO sebagai satu penyesalan yang mana mereka bersalah kerana membantu 1MDB dan skandal Datuk Seri Najib Tun Razak atau tindakan itu sebagai mencari kesempatan.
“Mereka perlu bersedia untuk menyokong sepenuhnya program PH untuk mengubah Malaysia daripada bekas kleptokrasi kepada sebuah negara berintegriti.
“Mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah laku jenayah kena membayar harga atas perbuatan mereka.
“Jika mereka didapati bersalah kerana salah laku rasuah dia kena bayar dulu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku 100 Days 100 Pictures di Bukit Damansara, di sini, hari ini.
Beliau mengulas hasrat bekas ahli-ahli Parlimen UMNO yang keluar parti dan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Rabu lalu, UMNO Sabah hampir lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.
Keadaan semakin genting apabila enam lagi ahli Parlimen UMNO hari ini mengumumkan keluar parti.
Mereka ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Kit Siang juga berkata, penghijrahan besar-besaran Ahli Parlimen UMNO itu ke dalam PH membuktikan kerajaan baharu hari ini mempunyai integriti yang tinggi berbanding kerajaan terdahulu.
“Kita semua buat silap, kalau ada salah laku terdahulu atau gagal ambil tindakan tegas, kita kena hadapinya,” katanya.
Ketika ditanya kesediaan DAP untuk menerima bekas ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu, beliau bagaimanapun cuba mengelak untuk menjawabnya.
“Adakah DAP akan terima Tan Sri Pandikar Amin Mulia? Biar mereka tunjukkan pretasi dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette