Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau bercakap pada sidang media mengenai pelancaran petisyen atas talian bagi ratifikasi ICERD di Menara PGRM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan melancarkan satu petisyen atas talian bagi mendapatkan sekurang-sekurangnya 50,000 penyokong ‘senyap’ bagi meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

residen Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, pihaknya bukan berniat untuk ‘mengapi-api’ mana-mana pihak berhubung ICERD tetapi matlamat utama adalah menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi perkauman di negara ini.

Jelas beliau, ramai lagi kumpulan dan individu yang sebenarnya menyokong ratifikasi ICERD secara diam tetapi tidak mempunyai platform untuk meluahkan sokongan tersebut.

Malah dakwa Dominic, pihaknya juga sedia maklum perhimpunan bantah ICERD pada minggu lepas dengan anggaran sebanyak lebih 50,000 itu bukan mewakili suara keseluruhan rakyat di negara ini.

“Kita tidak ada niat untuk tiup apa-apa api perkauman atau mengapi-apikan mana-mana pihak. Kita hanya mempunyai satu matlamat, kita mahu menghapuskan segala bentuk diskriminasi perkauman.

“Ini adalah sebuah negara demokrasi. Hampir semua negara di dunia memeterai ICERD kecuali negara-negara tertentu seperti Angola, Korea Utara, Myanmar dan Malaysia. Pada saya, ia merupakan satu langkah tepat sekiranya kerajaan PH melaksanakan ICERD.

“Kita mahu lancarkan petisyen ini yang kita juga jangka akan dapat lebih 50,000 tandatangan sebelum sidang Parlimen seterusnya pada Mac 2019 kelak. Kita juga akan menyerahkan sebuah memorandum kepada kerajaan serta Parlimen.

“Untuk pengetahuan anda, jika ini Amerika Syarikat (AS), ada petisyen dengan tandatangan sehingga 100,000 dalam tempoh 30 hari, White House perlu memberi maklum balas berhubung perkara tersebut,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Sabtu lepas, UMNO bersama-sama Pas dan lebih 500,000 rakyat Malaysia dari seluruh negara yang mengadakan Himpunan Aman Daulat 812, menolak ICERD kerana jelas menjejaskan kepentingan Islam, orang Melayu Bumiputera, anak negeri dan pelbagai kepentingan kaum termasuk di Sabah dan Sarawak.

Tambah Dominic, pihak kini sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang juga senada mahu meratikasi ICERD.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail menegaskan pihaknya akan terus menasihat kerajaan untuk meratifikasi baki enam konvensyen antarabangsa yang belum ditandatangani Malaysia termasuk ICERD. – MalaysiaGazette