Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad
KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tiba di Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini kira-kira pukul 8.35 pagi tadi.
Beliau yang berbaju batik kebiruan akan menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen berhubung kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Mohd Isa ditemani isteri Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.
MGF14122018_ISA SAMAD MAHKAMAH04
Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid turut menemani suami yang merupakan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad hadir ke mahkamah berhubung kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2018.

Semalam Mohd Isa hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM di Putrajaya bagi menandatangani notis aku janji untuk hadir ke mahkamah.

Pada 30 Ogos lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan sebagai berkata pihak pendakwa raya dalam pertimbangan untuk membuat pertuduhan terhadap Mohd Isa membabitkan kes pembelian hotel oleh FIC.

Pada 21 Jun 2017, Mohd Isa dan isterinya tampil memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya, sebelum SPRM membuka kertas siasatan baharu berhubung pembelian hotel di Kensington, London dan Kuching antara tahun 2013 dan 2015.

FIC dipercayai membeli hotel di Kensington pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan anak syarikat Felda itu mengalami kerugian jutaan ringgit. – MalaysiaGazette