Situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan penambahan bilangan mangsa seramai 1,622 orang daripada 506 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 950 orang daripada 327 keluarga malam tadi.
Situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan penambahan bilangan mangsa seramai 1,622 orang daripada 506 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 950 orang daripada 327 keluarga malam tadi.

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin buruk dengan penambahan bilangan mangsa seramai 1,622 orang daripada 506 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 950 orang daripada 327 keluarga malam tadi.

Sebanyak tiga pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPS beroperasi sebanyak 19 tempat di tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.

Menurut portal Info Bencana, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hulu Terengganu terus merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 1,161 orang berbanding 645 orang malam tadi di sembilan PPS diikuti Kemaman seramai 448 orang berbanding 292 orang malam tadi (sembilan PPS).

Di Setiu, jumlah mangsa kekal 13 orang daripada tiga keluarga yang ditempatkan di satu PPS.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menerusi portal yang sama melaporkan tiada paras air sungai yang melepasi paras bahaya setakat pagi ini.

Namun, ketinggian paras air di beberapa stesen bacaan sungai utama masih melepasi tahap amaran seperti Sungai Besut, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Dungun, Sungai Kemaman, Sungai Marang, Sungai Setiu dan Sungai Nerus.

Sementara itu di Kuantan, BERNAMA turut melaporkan jumlah mangsa banjir di daerah ini yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 435 orang pagi ini berbanding 335 orang malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Zainal Yusof dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata sehingga 8 pagi, jumlah mangsa membabitkan 110 keluarga.

“Mangsa paling ramai ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating sebanyak 128 orang daripada 33 keluarga diikuti SK Kempadang (77 orang, 18 keluarga), SK Sg Karang (64 orang, 21 keluarga).

“SK Beserah pula (63 orang, 17 keluarga), SK Sungai Isap Murni (47 orang, sembilan keluarga), Dewan Orang Ramai Balok (31 orang, lima keluarga) dan SK Sungai Ular (25 orang, tujuh keluarga),” katanya.

— BERNAMA