Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pertemuannya dengan kelima-lima pemimpin UMNO termasuk Datuk Mohamad Hasan kerana mereka mahu meninggalkan parti tersebut.

Perdana Menteri itu juga menafikan kenyataan Timbalan Presiden UMNO bahawa pertemuan mereka bagi menyekat parti tersebut daripada dibubarkan.

“Tidak (saya tidak kata untuk selamatkan UMNO).

“Mereka datang jumpa saya untuk beritahu bahawa mereka akan tinggalkan UMNO dan mahukan nasihat saya. Itu sahaja tiada perkara lain,” katanya ketika ditemui media di Muzium Kesenian Islam hari ini.

Pertemuan Mohamad bersama Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Shahidan Kassim baru-baru ini menjadi tular.

Penularan gambar-gambar itu menimbulkan spekulasi kononnya kunjungan pemimpin-pemimpin UMNO itu sedang mengatur strategi untuk menarik Ahli-Ahli Parlimen keluar parti.

Namun, Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat menafikannya dan memberitahu pertemuan yang berlaku pada bulan September lalu bagi mendengar penjelasan Dr Mahathir yang mahu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membubarkan UMNO.

Jadi, pertemuan itu bagi menghalang tindakan mengharamkan UMNO.

Sebaliknya, Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin pula mendedahkan pertemuan itu berlaku pada 22 Oktober lalu atas permintaan kelima-lima pemimpin UMNO itu.

Kadir membuat telahan bahawa mesti ada dalam kalangan pemimpin berkenaan yang berharap pertemuan dengan Dr Mahathir itu boleh memberikan mereka talian hayat.

Mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak gemar akan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengambil bekas pemimpin UMNO untuk mengetuai parti itu, Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan akan hanya menerima mereka yang difikirkan baik dan boleh menyokong penuh kerajaan.

“Ada orang yang baik pun ada (dalam UMNO), yang jahat pun ada. Yang jahat kita tak terima. Yang baik kita terima, saya sendiri ahli UMNO.

“Dia orang terima saya, Kit Siang terima saya.

“UMNO bukan pasal ahli, tetapi apa yang kita buat. Jika kita buat sesuatu buat salah, sudah tentu akan ditolak,” katanya lagi.

Anwar sebelum ini berkata, PKR tidak akan mempertimbangkan untuk menerima bekas pemimpin UMNO untuk menyertai parti itu walaupun sudah ada permintaan daripada mereka.

Tegasnya, beliau mahu memberi tumpuan kepada agenda pembaharuan yang diperjuangkan oleh parti itu sejak 20 tahun lalu.

DAP juga sebelum ini menyuarakan nada sama dengan mempertikaikan tindakan PPBM menerima bekas pemimpin UMNO.

Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu berkata, Dr Mahathir tidak perlu mengambil bekas pemimpin UMNO yang keluar parti untuk menyertai PPBM.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata: “Dalam PPBM pun ada tak suka,”. -MalaysiaGazette