Pengerusi dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Air Asia, Tan Sri Rafidah Aziz (kiri) menerima anugerah dari Pro Canselor (CUCMS), Tan Sri Datuk Dr. R. Palan (kanan) pada Penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat di Grand Hall, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), Cyberjaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 14 DISEMBER 2018

CYBERJAYA – Kerajaan perlu membalas keyakinan rakyat dan pelabur dengan memastikan kerenah birokrasi tidak menjadi penghalang serta tidak melengah-lengahkan proses sesuatu prosedur.

Menurut Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz, terdapat banyak indikasi yang menunjukkan orang ramai mula kembali menaruh keyakinan kepada kerajaan selepas Pakatan Harapan dipilih sebagai parti pemerintah sejak Mei lalu.

“Melihat daripada respon orang ramai malah terdapat pelabur-pelabur asing yang memberitahu saya, mereka menaruh harapan semula kepada Malaysia dan melihat ‘banyak peluang pelaburan di negara ini.

“Ada juga yang sudah pun menemui peluang-peluang pelaburan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah Doktor Falsafah Kehormat Pentadbiran Perniagaan daripada Cyberjaya University College of Medical Sciences dekat sini hari ini.

Namun begitu menurut bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, kerajaan tidak boleh mengambil sikap sambil lewa walaupun telah mendapat semula keyakinan pelabur dan rakyat.

Disebabkan persaingan sengit dengan negara-negara lain, Malaysia juga katanya perlu bersedia menawarkan peluang dan perkhidmatan terbaik untuk menarik pelabur.

“Kita perlu berfikir secara global. Orang lain di dunia ini menawarkan A,B, C, D tetapi kita hanya menawarkan A, B, C sahaja.

“Ini tidak akan membantu negara untuk berjaya, kita perlu setanding atau lebih baik,” katanya lagi.

Rafidah menerima anugerah tersebut di atas sumbangannya kepada ekonomi dan perdagangan negara terutama apabila menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri paling lama dalam sejarah.-MalaysiaGazette