Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK WPKL, Low Swee Hon (dua kiri) meneliti jenis telur yang dijual peniaga semasa membuat pemantauan dan pemeriksaan harga barang di Pasar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2018.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK WPKL, Low Swee Hon (dua kiri) meneliti jenis telur yang dijual peniaga semasa membuat pemantauan dan pemeriksaan harga barang di Pasar Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2018.

IPOH – Kenaikan harga telur ayam pelbagai gred yang berlaku di beberapa negeri sejak kebelakangan ini adalah disebabkan kekurangan bekalan bahan mentah itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata antara faktor kekurangan bekalan telur ayam adalah lebihan eksport ke luar negara.

“Selain itu, antara faktor (kekurangan telur ayam) adalah penyakit yang melanda industri ayam iaitu selesema burung yang menyebabkan ‘shortage of supply’ (kekurangan bekalan).

“Pihak kementerian juga akan mengambil tindakan yang sewajarnya bersama dengan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) menerusi jawatankuasa bersama yang ditubuhkan sebelum ini bagi menangani kenaikan harga telur ayam,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2018 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata pihaknya memberi jaminan akan mengatasi masalah kekurangan bekalan telur ayam dalam tempoh terdekat.

Beliau diminta mengulas berhubung trend perubahan purata harga telur ayam sejak pertengahan bulan lepas sehingga kini yang didapati mengalami kenaikan secara konsisten pada setiap minggu di pasaran domestik.

Kali akhir Malaysia diserang penyakit selesema burung ialah pada April 2017.

— BERNAMA