Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR – Keputusan DAP tidak bekerjasama dengan UMNO adalah muktamad.

Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo berkata, UMNO telah pun menentang DAP habis-habisan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

“Kami telah meminta rakyat menolak mereka dan rakyat telah pun menolak mereka dengan hasrat membina Malaysia Baru.

“DAP tidak akan bekerjasama dengan UMNO. Muktamad. Kami tidak seharusnya berkerjasama dengan mereka,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook beliau hari ini.

Lantaran itu, katanya, Pakatan Harapan akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat berhubung tindakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang melompat dalam gabungan parti itu.

Jelasnya, langkah tersebut diambil bagi menjaga kepercayaan rakyat kepada PH dalam usaha menyelamatkan negara.

“Soal bekas wakil rakyat BN menyertai PH harus dihalusi dengan teliti.

“Mandat rakyat perlu dihormati. Agenda reformasi dan pemulihan negara perlu diberikan keutamaan,” ujarnya.

Sehingga semalam, seramai 17 Ahli Parlimen UMNO telah mengumumkan keluar parti selepas pilihan raya umum lalu dan dijangka menyertai salah satu parti komponen dalam PH. – MalaysiaGazette