Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Satu mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diadakan pada 19 Disember ini bagi menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, Pengerusinya suruhanjaya itu, Azhar Azizan Harun akan mengendalikan mesyuarat tersebut.

“Mesyuarat khas itu akan diadakan pukul 10.30 pagi di Bilik Gerakan, Menara SPR, Putrajaya.

“Mesyuarat khas itu antaranya akan membincangkan tarikh penting urusan PRK seperti Writ PR, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian Biasa serta daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRK kali ini,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, satu sidang media khas akan diadakan bagi mengumumkan keputusan perbincangan mesyuarat khas serta tarikh PRK dan proses selanjutnya.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Khas Pilihan Raya mengeluarkan Perakuan mengikut Seksyen 36 (2)(a), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengisytiharkan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 bagi kawasan Cameron Highlands pada 9 Mei lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Hakim Azizah Nawawi dalam keputusannya mendapati pihak pempetisyen bekas calon DAP, M. Manogaran berjaya membuktikan terdapat unsur rasuah oleh Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarrajh yang juga bekas Ketua Pemuda semasa bertanding di kerusi itu.

Sivarrajh didakwa memberi suapan kepada pengundi Orang Asli dalam PRU 9 Mei lalu.

Azizah berkata, Manogaran turut membuktikan calon BN itu melakukan aktiviti rasuah semasa mesyuarat pada 28 April lalu seerta pada 3,6,7,8 dan 9 Mei tahun ini.

Pada PRU14 lalu, Sivarrajh selaku calon BN memperolehi 10,307 undi Manogaran yang mewakili Pakatan Harapan dengan 9,710 undi.

Dalam petisyen yang difailkan Manogaran 4 Jun lalu, memohon mahkamah mengisytiharkan kemenangan Sivarrajh dan BN di kerusi Parlimen itu tidak sah kerana melanggar Peraturan Akta Pilihan Raya 1954 sambil meminta satu PRK perlu diadakan seger

Terdahulu, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Yusof berkata, pihaknya telah menerima surat pemakluman kekosongan kerusi Parlimen Cameron Highlands bertarikh 17 Disember 2018 daripada SPR.

Surat pemakluman kepada DRakyat ewan dikeluarkan SPR selepas tiada sebarang rayuan terakhir dibuat oleh penyandang kerusi itu Datuk C. Sivarraajh kepada Mahkamah Persekutuan pada 14 Disember lalu. – MalaysiaGazette