Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului pencabar tunggalnya Mohd Rafizi Ramli dalam saingan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu yang berlangsung di 10 cabang di Kedah hari ini.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan dalam parti dan bertegas mahu menumpukan perhatian sepenuhnya menjadi wakil rakyat di Permatang Pauh.

Persoalannya, mengapa secara tiba-tiba Nurul Izzah bertindak sedemikian? Adakah kerana Ahli PKR, Latheefa Koya mendakwa lantikan Pengerusi Negeri parti berdasarkan kepentingan nepotisme dan puak tertentu?

Sumber tertinggi PKR menyifatkan apa yang sedang melanda parti itu tidak lebih daripada ‘drama’ minggu ini sahaja malah berkata, kemelut serta masalah dalaman sudah lama wujud tetapi kini secara terang-terangan boleh disaksikan oleh umum.

“Semua ini drama sahaja. Mengapa letak jawatan setelah mendapat teguran keras daripada Latheefa? Jika tidak berminat dengan jawatan dari awal lagi tidak perlu bertanding bukan begitu?

“Beliau sebenarnya tidak mendapat sokongan majoriti malah tidak berkempen ketika pilihan raya. Tanya sendiri, adakah kerana beliau anak Presiden?

“Sebenarnya rata-rata kami dalam parti sudah ketahui tentang pelantikan-pelantikan ini sejak kebelakangan ini tetapi anda media baharu sahaja tahu. Kami tahu walaupun tidak mendapat sokongan majoriti tetapi dilakukan juga. Suara kami langsung tidak didengari.

“Saya bagi contoh bukan sahaja lantikan di Pulau Pinang sahaja, mungkin ianya kecoh kerana Nurul adalah anak Presiden. Tetapi bagaimana pula dengan lantikan di negeri lain? Fuziah Salleh kalah dalam pilihan Wanita Pusat tetapi dilantik pula sebagai Pengerusi Pahang walaupun umum teruja dengan Zakaria Abdul Hamid disokong oleh rata-rata cabang.

“Seperti lantikan di Perak, siapa ini Farhash Wafa Salvador yang merupakan Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim? Ramai yang mahu  Abdul Yunus Jamhari atau Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye sebenarnya.

“Di Kedah pula, Datuk Johari Abdul yang kalah dengan ‘unknown’ boleh diangkat menjadi Pengerusi? Di Sabah, Christina Liew Chin Jin tetapi ramai yang mahu bumiputera dalam kalangan mereka.

“Selangor pula, ramai yang mahu Zuraida Kamaruddin untuk menjadi Pengerusi, daripada 22 cabang, 15 mahukan beliau. Di Melaka pula, Shamsul Iskandar menjadi pilihan umum tetapi yang dilantik adalah Halim Bachik.

“Di Johor, Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon adalah pilihan tetapi yang dimahukan oleh suara majoriti adalah Hassan Abdul Karim.

“Wilayah pula bagaimana? Ramai mahukan kepimpinan seperti Tian Chua, Kamaruddin Jaafar tetapi diletakkan pula Zahir Hassan? Ini hanya sekadar contoh.

“Apa yang anda lihat ini hanya secara terang-terangan bahawa kem ‘kartel’ Datuk Seri Azmin Ali ‘dibunuh secara diam’, sesuatu yang tidak dapat di lakukan ketika pemilihan sebelum ini. Ianya di lakukan secara lantikan.

“Sokongan serta ‘orang-orang’ kuat kem ini semuanya secara diam dan halus akan didiamkan demi kelangsungan politik puak serta kumpulan yang satu lagi. Jangan cakap tentang demokrasi lagi dalam parti ini,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Malah dakwa sumber itu, Rafizi yang kalah di tangan Azmin pada pemilihan lepas merupakan ‘master mind’ di sebalik pelantikan ini.

“Rafizi akan mendapat peluang melalui lantikan sebagai Naib Pengerusi tidak lama lagi namun saya tidak sesekali terkejut seandainya beliau menolak lantikan tersebut. Sudah tentu lantikan itu akan menjadi buah mulut dan rasa tidak senang.

“Tetapi tidak apa, kerana hampir 90 peratus adalah orang-orang berkepentingan satu kem sahaja. Orang-orang yang dikatakan ‘rapat’ dengan Rafizi.

“Orang yang dikatakan rapat dalam kem Azmin hanyalah Pengerusi Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi Sarawak, Baru Bian sahaja. Kita tengok dan lihat lebih banyak drama dan kemelut selepas ini, yang peliknya tidak ada sesiapa yang mampu berbuat apa-apa,” ujarnya. –MalaysiaGazette