Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media pada Majlis Penyerahan Operasi GoKL dan Pelancaran Penggunaan B10 BioDiesel di Menara DBKL, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 DISEMBER 2018.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media pada Majlis Penyerahan Operasi GoKL dan Pelancaran Penggunaan B10 BioDiesel di Menara DBKL, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR -Menteri Wilayah Persekutuan,  Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abdul Samad menafikan beliau pernah mengatakan Malaysia berjaya menarik pelaburan Qatar bernilai AS$400 bilion bagi projek kereta nasional ketiga.

Sebaliknya,  Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) menjelaskan dirinya hanya berkata, kerajaan boleh mengambil peluang untuk menarik pelaburan Qatar kerana negara pengeluar minyak itu kini giat membuat pelaburan di seluruh dunia.

“Saya sebut dalam konvensyen PAN minggu lepas bahawa Qatar ada AS$400 bilion untuk dilaburkan di seluruh dunia. Jadi, kita nak tarik pelaburan itu ke Malaysia. Kita boleh tarik pelaburan itu dengan industri batik atau keropok lekor.

“Kita kena kata labur dalam industri pembuatan kereta, kami ada kepakaran, kamu ada duit.

“Saya tak ada kata individu Qatar atau mereka sudah muktamad nak labur di sini,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Semalam, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Yusof menafikan dakwaan Khalid yang Qatar berminat untuk melabur dalam projek kereta nasional ketiga Malaysia.

Khalid juga berkata, kenyataannya mengenai pelaburan kerajaan Qatar itu telah diputarbelitkan oleh wartawan MalaysiaKini sambil menyindir agar agensi itu menghantar wakil media yang lebih fasih bahasa Melayu.

“Minta maaf laa, Malaysiakini kena hantar wartawan yang faham bahasa Malaysia. Ini sudah dua kali, kali pertama dia kata nabi mungkir janji, saya tak kata nabi mungkir janji.

“Saya kata nabi nak pergi buat umrah pada tahun itu dah bawa pergi (sahabat), tiba-tiba dihalang. Itu sahaja, saya berhenti di situ.

“Macam kita nak laksana manifesto tapi tiba-tiba terhalang. Maknanya di situ usaha manusia, kita boleh usaha sebaik mungkin.

“Qatar pula sedia labur AS$400 bilion dalam kereta nasional, itu tak betul. Qatar ada duit, kita dimaklumkan Qatar nak melabur di seluruh dunia. Terpulang kepada Malaysia macam mana nak tarik duit pelaburan Qatar itu di antaranya ialah projek kereta nasional ketiga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/12/17/redzuan-nafi-dakwaan-khalid-samad/