Sebahagian pegawai bomba memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia akibat insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya selepas proses bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). foto SYAFIQ AMBAK 18 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim atas kematian anggota bomba dan penyelamat itu.

Beliau menyifatkan Muhammad Adib seorang ahli bomba yang berani dan berwibawa, berkhidmat untuk negara dengan penuh dedikasi.

“Kami berkongsi kesedihan keluarga beliau dan negara berkabung bersama-sama dengan keluarga Muhammad Adib dalam masa getir ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Waytha Moorthy yang bertanggungjawab bagi Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial berkata, polis sedang bekerja keras bagi memastikan pesalah yang menyerang Muhammad Adib dibawa ke muka pengadilan dengan segera. – MalaysiaGazette