TAMPIN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin Jumaat lepas.

Mohd Yusnaidi Mohd Yunus, 34, dihadapkan ke mahkamah sebaik tempoh reman selama enam hari tamat.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Mengikut pertuduhan, Mohd Yusnaidi didakwa menakutkan dengan cara menyembunyikan namanya dengan membuat panggilan kepada Nor Zuzainni Jamaluddin, 38, di Hospital Tampin pada pukul 5.50 pagi, 14 Disember lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan yang mengendalikan kes itu mengemukakan laporan perubatan pesakit psikiatri dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dan meminta mahkamah merujuk tertuduh ke hospital bagi mendapatkan laporan perubatan.

Majistret kemudiannya memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemerhatian di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan menetapkan 24 Januari ini untuk laporan perubatan.

Dalam kejadian pukul 5.50 pagi itu, seramai 120 pesakit dan 50 kakitangan Hospital Tampin, cemas apabila dimaklumkan menerima panggilan ancaman bom daripada lelaki yang tidak dikenali.

Sepasukan anggota dari IPD Tampin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang ke lokasi melakukan pemeriksaan tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Susulan kejadian itu, polis berjaya mengesan suspek dan menahannya di sebuah rumah di Chembong, Rembau, pada jam 10.45 malam pada hari yang sama. – MalaysiaGazette