PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan lima anggotanya semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang anggota polis Cawangan Khas yang ditemukan mati dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan hotel di Pulau Tikus, di sini Isnin lepas.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri A.Thaiveegan berkata, lima anggota polis berusia dalam lingkungan 40 dan 50 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan kerana semasa kejadian mereka berada di tempat yang sama dengan si mati, Sofian Shahari, 47, dipercayai menghadiri satu majlis di situ.

“Berdasarkan siasatan awal, lima anggota polis berkenaan dipercayai berada di satu majlis di situ bersama anggota polis yang meninggal itu dan kami menahan mereka untuk merakamkan percakapan mereka bagi memastikan tiada sebarang percanggahan maklumat dan memastikan mereka bercakap benar.

“Polis akan menjalankan siasatan kes berkenaan secara terperinci hingga ke akar umbi dengan telus supaya dapat memberikan keadilan kepada anggota kami yang meninggal dunia itu.

Sekarang ini kami sedang menyiapkan kertas siasatan kes tersebut dan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pendedahan Isu-Isu Kontemporari Jenayah di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Majlis itu anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang dan USM dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kontinjen Pulau Pinang bagi memberikan pendedahan dan maklumat kepada orang ramai mengenai jenayah terutama berkaitan jenayah komersial.

Thaiveegan berkata, saringan awal ujian air kencing lima anggota polis berpangkat sarjan dan koperal yang ditahan itu positif dadah namun pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Jabatan Kimia.

Katanya, selain lima anggota polis itu, pihaknya juga sedang mencari beberapa lagi saksi lain iaitu orang awam yang dipercayai turut berada di lokasi kejadian dan mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Walaupun polis masih mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, kami tetap menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut dan polis juga masih menunggu laporan lengkap bedah siasat anggota polis berkenaan (Sofian) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 pagi itu, mayat mangsa, yang merupakan anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut ditemukan oleh seorang pekerja hotel dalam keadaan tertiarap di atas kawasan parkir kereta di depan hotel di Pulau Tikus, Isnin lepas.

Sebelum kejadian, mangsa yang berpangkat koperal dan telah berkhidmat dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) lebih 19 tahun dipercayai berada di sebuah pusat karaoke di situ bagi menyambut majlis hari jadi seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Siasatan di lokasi kejadian menemui beg dan selipar sebelah kiri milik mangsa di tingkat dua hadapan sebuah klinik pergigian di bangunan pusat karaoke berkenaan.

Selain itu, pemeriksaan lanjut di tingkat empat bangunan sama, polis menemui cebisan langsir di kaki lima pusat karaoke berkenaan, manakala dompet termasuk kad kuasa dan telefon bimbit mangsa turut hilang. – MalaysiaGazette