Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff bercakap pada sidang media " Countdown YEZ 2018 " Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di Wisma PPZ, Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 21 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) meminta umat Islam yang layak membayar zakat agar menyegerakan pelaksanaan Rukun Islam ketiga itu sebelum berakhir tahun 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, ia bagi membolehkan golongan itu mendapat rebat cukai pendapatan e-filing pada tahun depan.

Menurutnya, pada masa sama pembayaran zakat juga merupakan usaha pemerkasaan asnaf zakat dapat dijalankan dengan baik agar dapat disalurkan kepada golongan asnaf selayaknya.

“Pembayar zakat boleh menunaikan semua jenis zakat seperti zakat harta, zakat pendapatan, zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), zakat perniagaan, zakat saham, zakat wang simpanan, zakat emas dan qada zakat sepanjang baki 10 hari bulan Disember ini.

“Umat Islam juga digalakkan untuk menunaikan qada zakat sekiranya mempunyai zakat yang tertunda daripada tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media sempena kempen Year End Zakat (YEZ) di sini, hari ini.

Penganjuran kempen tersebut bertujuan menggalakkan orang ramai me­nunaikan zakat sebelum 31 Disember ini.

Ahmad Shukri memberitahu 11 kaunter PPZ-MAIWP bukan sahaja beroperasi setiap hari malah dilanjutkan sehingga pukul 9 malam dari 26 sehingga 31 Disember ini.

Jelas beliau, kaunter khas untuk sebarang taksiran atau pertanyaan zakat turut disediakan bagi memudahkan lagi orang ramai hadir.

“Kami juga memperkenalkan perkhidmatan khas iaitu door to door bagi pembayaran zakat RM5,000 ke atas apabila kakitangan PPZ-MAWIP akan datang kepada mereka.

“Pada 31 Disember pula, Kaunter Zakat Bergerak akan beroperasi dari pukul 6 petang hingga 12 malam di Shamelin Perkasa,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, pembayaran zakat juga boleh dilakukan secara atas talian di www.zakat.com.my atau 14 bank yang dilantik sebagai agen. – MalaysiaGazette