PTPTN
Menara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2018

DUNGUN – Mekanisme baru pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka mengambil masa disiapkan sebelum dapat dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan, kata Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, pihaknya giat mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak, termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain untuk mendapatkan maklumat serta input berkaitan, sebelum draf itu dibentangkan.

Langkah tersebut bagi membolehkan pelaksanaan kaedah baru itu tidak menimbulkan polemik, adil dan mengambil kira semua aspek kebajikan peminjam.

“Kajian untuk pelaksanaan skim baru sedang berjalan dan saya telah pergi ke Kedah, Perlis, Perak dan hari ini di Terengganu untuk berjumpa semua pihak berkepentingan di peringkat akar umbi untuk mendapatkan informasi.

“Kami akan dengar semua pandangan yang diberikan dan apakah aspek penambahbaikan (skim bayaran balik) yang akan dilaksanakan nanti, bergantung kepada input yang kita dapat dan paling awal 6 bulan untuk disiapkan,” katanya selepas Program Penyampaian Bantuan Persekolahan oleh PPBM kepada 1,000 pelajar sekolah Terengganu di Universiti Teknologi Mara Kampus Dungun hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris.

Mengulas lanjut, Wan Saiful memberi jaminan semua pandangan serta cadangan daripada semua rakyat akan diambil kira dan dianalisa bagi mendapatkan kaedah pembayaran balik yang terbaik dan tidak menyusahkan mana-mana pihak.

“Sebelum ini, kami terpaksa hantar cadangan mengenai penambahbaikan (skim bayaran balik) dalam masa 100 hari kerana mengejar janji manifesto menyebabkan ada kekangan masa dan kekurangan pada skim pembayaran balik yang cuba dilaksanakan pada 5 Disember lalu, tetapi ditangguhkan kerajaan selepas mendapat bantahan rakyat,” katanya. – Bernama