Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini menafikan beliau memberikan Kelulusan Permit (AP) bagi mengeksport pasir sungai secara rundingan terus kepada empat syarikat yang didakwa milik kroninya.
Xavier Jayakumar

AMPANG – Bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar perlu terus membantu parti biarpun sudah bertindak meletakan jawatan.

Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar yang menasihatkan agar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengutamakan PKR walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam parti.

“Saya harap beliau boleh melihat semula cara untuk membantu parti, untuk maju ke hadapan. Walau apa pun pendiriannya, kita kena menerima sebagai anggota parti.

“Apa yang lebih penting ialah kepada parti bukan kepada individu lain. Beliau sebagai Ahli Parlimen mesti ada tanggungjawab untuk membantu parti dan membawanya ke tahap yang lebih baik berbanding sekarang,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pertama Kolej Sains Geospatial dan Teknologi (GSTC), hari ini.

Dalam pada itu Dr Xavier menasihatkan Nurul Izzah supaya melihat realiti sebenar senario politik supaya dapat terus berkhidmat kepada parti.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan Presiden parti tetapi Nurul Izzah perlu melihat keadaan sebenarnya.

“Kita sudah lama dalam senario politik dan saya sendiri sudah 20 tahun berjuang dengannya di dalam parti,” katanya.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, anak sulungnya itu bertindak melepaskan jawatannya kerana tindakan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang melompat menyelamatkan nyawa politik disifatkan jelek oleh Nurul Izzah.

Anwar mendedahkan Nurul Izzah meluahkan rasa kesal itu kepadanya dalam perbincangan empat mata bersamanya baru-baru ini.

Nurul Izzah pada Isnin lalu bertindak meletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR serta mengundurkan diri daripada pelantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Menerusi kenyataannya, beliau berkata keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan dalam parti. -MalaysiaGazette