Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa melahirkan rasa gundah gulananya terhadap tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang melepaskan dua jawatan dalam PKR.

Menerusi surat terbukanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa  yang kini berada di Cordova mengharapkan agar Nurul Izzah tidak berundur daripada perjuangan yang baharu dibina oleh Pakatan Harapan ketika ini.

Menurut Mujahid, Nurul Izzah merupakan puteri reformasi yang perlu memimpin generasi baharu dengan tertubuhnya Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan yang kini memerintah negara ini.

“Adinda Nurul Izzah, kekanda hanya mahukan kebaikan untuk masa depan politik adinda, maaf kerana warkah ini ditulis cara terbuka tetapi kekanda rasa adinda adalah ‘Puteri Reformasi’ milik generasi baru yang akan mencorakkan Malaysia Baru.

“Mereka perlukan ‘puteri’ mereka terus memimpin langkah awal ke arah apa yang dicitakan oleh pengasas gelombang reformasi.

“Para pengkritik juga ingin menguji apakah kekentalan ‘Puteri Reformasi’ masih utuh? Jangan biarkan ujian ini menjadi satu kebenaran dan jangan biarkan mereka yang tidak ada bersama kita sebelumnya menentukan nasib Malaysia Baru, kita perlu tentukannya bersama,” tulisnya menerusi surat terbuka yang menjadi tular.

Dalam surat tersebut, Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut mengimbas perkenalannya dengan anak sulong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ketika beliau berada sepentas dalam satu sirti ceramah era reformasi pada hujung tahun 90an.

Katanya, ketika itu Nurul Izzah masih mentah dalam politik dan berjuang membela nasib bapanya yang difitnah dan diaibkan.

Ujarnya, ketika itu beliau ada membisikkan doa agar Izzah diberikan kekuatan dalam perjuangannya dan doa itu termakbul apabila puteri reformasi itu diangkat sebagai ahli Parlimen pada 2008.

“Alhamdulillah juga kita diketemukan usai PRU 2008 sebagai ahli parlimen hingga kini.

“Anak ‘remaja mentah’ yang kekanda pernah doakan agar jiwanya cekal kini menjadi rakan seperjuangan kekanda yang kental, sama-sama melalui detik suka dan duka demi harga sebuah perjuangan, demi Malaysia Baru.

“Kekanda amat menghargai persahabatan kita disimpulkan dengan satu cita-cita dan satu harapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.