KUALA LUMPUR – Tindakan penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dasuki yang memuatnaik status berhubung kematian ahli kumpulan Seventeen yang dikaitkan dengan maksiat, dikecam teruk netizen.

Dalam satu status di aplikasi Instagram, Ahmad Dusuki didapati berkata, kematian boleh datang secara tiba-tiba dan tanpa diduga.

Justeru beliau menasihatkan agar umat Islam menjauhkan maksiat kerana perbuatan itu mendatangkan azab daripada Allah.

“Bayangkan kematian menyentap saat sedang begini? Inilah yang terjadi kepada kumpulan band muzik yang sedang membuat persembahan pada malam tsunami menyentap!!..

“Angka kematian bencana tsunami di pantai selat sunda (di antara kepulauan sumatera dan jawa) hgga kini meningkat kpd 150 org serta mencederakan 600 orang.

“Usahlah melakukan maksiat!!! kerana maksiat itu menarik azab,” katanya di Instagram.

Kenyataan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor itu merujuk kepada kejadian tsunami di Selat Sunda bertambah kepada 373 orang sementara 1,459 cedera, 128 masih hilang dan 5,665 kehilangan tempat tinggal.

Kejadian itu turut mengorbankan Pemain bass kumpulan pop rock Indonesia, Seventeen, M. Awal Purbani atau Bani dan pengurus jelajah konsert mereka yang bernama Oki Wijaya.

Bagaimanapun status Ahmad Dusuki mendapat kecaman hebat daripada netizen.

@khairyizwan berkata “Komen berdasarkan caption dia yg tak hormat perasaan mangsa2, bukan komen atas kuliah dia. Ada banyak lagi cara utk ajak org amik iktibar atas kejadian tsunami,” katanya.

Malah ada juga yang berpendapat status berkenaan tidak sesuai dimuatnaik memandangkan beliau adalah seorang ustaz.

“Bawa mengucap la ustaz. Jangan busuk hati sgt. Riak tu,” kata @SafwanShiro.

Dalam pada itu, ada netizen yang mempersoalkan niat sebenar Ahmad Dusuki yang memohon derma orang ramai mengenai kejadian itu.

“Lepas dah jatuh kan ‘hukuman’ kat mangsa tsunami mcm dia tuhan, ada hati minta sumbangan utk sekolah tahfiz dia,” kata @EmanMarzuki.

“Salam ustaz, caption tak kena tu. Boleh ubah kasi tak nampak macam tunggang agama. Untuk post kematian macam ni seeloknya ustaz tak letak no. akaun tahfiz ustaz. Baik ustaz letak no. akaun NGO yang raih charity untuk mangsa bencana daripada raih charity tahfiz, buat masa ni,” komen @eryazmi. -MalaysiaGazette