Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menolak keputusan kerajaan untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akibat cedera parah dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan tersebut akan melengah-lengahkan masa dalam proses memberikan keadilan kepada keluarga mangsa.

Katanya, walaupun keputusan mengadakan inkues berada di dalam kuasa Peguam Negara (sebagai Pendakwaraya) seperti termaktub di dalam seksyen 339(1) Kanun Acara Jenayah tetapi keputusan tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan.

Ini kerana, menurut Zainul Rijal, ia seolah-olah memberi gambaran Peguam Negara masih keliru sebab kematian Mohd Adib sedangkan perkara itu telah jelas berdasarkan laporan perubatan dan bedah siasat (post mortem) yang dilakukan ke atas jenazah Allahyarham.

Lebih jelas lagi, katanya, Polis Diraja Malaysia juga telah membuka kertas siasatan dan mengklasifikasi kes tersebut sebagai kes bunuh sebaik sahaja Allahyarham disahkan telah meninggal dunia jam 9.41 malam 10 hari lalu.

Beliau berkata, daripada melengah-lengahkan kes tersebut menerusi inkues adalah lebih baik bagi PDRM segera menyempurnakan kertas siasatan dalam masa yang sama Peguam Negara pula diminta membuat keputusan cepat mendakwa pihak yang terbabit.

“Bukan semua kes yang disiasat di bawah seskyen 302 Kanun Keseksaan memerlukan keputusan inkues terlebih dahulu sebelum pendakwaan dapat dilakukan.

“Oleh kerana PDRM telah mengklasifikasi semula kes ini di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah amat wajar PDRM menangkap semula dan mendapatkan tahanan reman kepada mereka yang sedang disiasat tersebut bagi mengelakkan proses undang-undang digagalkan.

“Melainkan PDRM berpendapat mereka tidak melakukan kesalahan tersebut dan memberikan justifikasi agar ia menjadi telus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Peguam Negara akan mengarahkan majistret melakukan inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

ARTIKEL BERKAITAN: Inkues tentukan sebab kematian Adib

ARTIKEL BERKAITAN: Bila ‘payah’ sangat nak rungkai kematian Adib, inkues jalan terbaik!

Jelas Muhyiddin, keputusan tersebut dibuat selepas penemuan dapatan tertentu pihak polis melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi yang hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal turut menegaskan pendirian PPMM untuk mendesak Peguam Negara  memberikan penjelasan terperinci terhadap punca pendakwaan masih tidak dibuat sehingga kini, dalam masa yang sama mengapa inkues dijalankan kerana orang awam tidak mempunyai akses kepada siasatan

“PPMM juga berasa sangat pelik apabila ada pihak yang meminta perlindungan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk masuk campur dalam siasatan polis dan meminta siasatan bebas dilakukan.

“Adakah ini bermakna pihak polis sudah tidak menjalankan siasatan dengan bebas sehingga perlu diadakan siasatan lain?” katanya lagi.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember selepas tiga minggu menjalani rawatan rapi di Institut Jantung Negara (IJN). – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:Inkues mungkin dijalankan ke atas kematian Muhammad Adib