Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. foto IQBAL BASRI, 04 DISEMBER 2018
Mohamad Fuzi Harun.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafields, Subang Jaya yang membabitkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada Isnin lalu.

Katanya, kertas siasatan itu membabitkan kejadian rusuhan kuil serta insiden yang mengakibatkan MUhammad Adib mengalami parah parah disyaki diserang perusuh.

“Kes Adib masih diteruskan dan sudah serahkan kertas siasatan itu kepada DPP dan sedang menunggu arahan lanjut DPP untuk tindakan seterusnya sekiranya perlu,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, di sini.

Terdahulu beliau bersama timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim hadir pada Majlis Raikan Cinta Raja Sehari.

Majlis tajaan Bank Muamalat itu melibatkan 20 pasangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru katanya, polis sedang bertungkus lumus untuk memastikan siastan dapat dilengkapkan dan disegerakan.

“Kami harap mereka yang bertanggungjawab dapat dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin,” ujarnya.

Sementara itu,Mohamad Fuzi menafikan dakwaan Muhammad Adib mati terkena objek besar dan mengesahkan kes siasatan membabitkan anggota bomba itu diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menbunuh.

“Kami masih menunggu laporan bedah siasat dari pihak forensik untuk mengenalpasti punca sebenar kematian Adib.

“Kita tidak boleh terburu-buru dan perlu menunggu dan menyiasat secara teliti,” ujarnya.- MalaysiaGazette