LGE
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Petunjuk ekonomi Malaysia mengalakkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pelaburan langsung asing (FDI) meningkat sebanyak 250 peratus kepada RM49 bilion dalam tempoh itu dan eksport pula naik kepada RM96.4 bilion iaitu tahap paling tinggi dalam sejarah Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar inflasi pula 1.2 peratus sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, Malaysia masih mampu merekodkan prestasi yang baik ketika ekonomi global menghadapi cabaran yang teruk.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan akan terus memberikan bantuan dan memenuhi aspirasi rakyat.

Tambah beliau, kerajaan akan menambah baik skim kebajikan seperti Dana Perlindungan Kesihatan, yang membolehkan individu dalam segmen B40 yang dimasukkan ke hospital kerajaan memohon pembayaran sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari setahun atau bersamaan RM700.

“Kerajaan akan terus membantu merekadari Felda, penoreh getah, mereka sebagai penduduk bandar-bandar kecil dan bandar raya.

“Kami adalah kerajaan untuk semua warga Malaysia. Tahun baharu aspirasi baharu untuk semua, dan marilah kita bersama-sama menjadikan 2019 sebagai tahun di mana Malaysia boleh pulih semula,” katanya dalam ucapan Tahun Baru 2019. – MalaysiaGazette