Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memuatnaik gambar kecederaan yang dialami di laman Twitter.

KUALA LUMPUR – Kemunculan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Jumaat lalu dengan muka bertampal serta pergerakan yang agak terhincut-hincut menimbulkan pelbagai cakap-cakap dalam kalangan netizen dan pemerhati politik.

Ada yang membuat rumusan sendiri kononnya Menteri Belia dan Sukan itu ‘berdrama’ dan tidak kurang juga yang menyamakan keadaan itu dengan watak Encik Jamil dalam filem Madu Tiga lakonan Allahyarham P. Ramlee.

Ini kerana, ada kalangan pengkritik mendapati bahagian wajah yang ditampal sekejap sebelah kanan dan kemudian bertukar kiri (mungkin mereka keliru dengan sudut gambar yang dirakam oleh jurugambar).

Di laman Twitternya, Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) memuatnaik gambar beliau terlibat dalam kemalangan sehingga mencederakan wajahnya.

“Cedera jatuh motor pun ada pihak nak politikkan. Let the photo speak for itself.

“Bagi mereka yang fitnah saya, saya doakan saudara saudari akan kembali ke jalan yang benar,” katanya di Twitter.

Ekoran itu timbul bermacam-macam spekulasi dan tanggapan terhadap kecederaan yg dialaminya itu. -MalaysiaGazette