Lembaga Tabung Haji TH deposits
Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022.

PEMAHAMAN saya Lembaga Tabung Haji (TH) ditubuhkan sebagai wadah untuk umat Islam menyimpan sedikit demi sedikit sebagai persediaan kewangan untuk mengerjakan ibadah haji yang dituntut didalam rukun Islam.

Apabila sesorang itu menyimpan dan menabung secara sedikit demi sedikit dengan niat untuk mengerjakan ibadah haji, saya percaya beliau tidak menitikberatkan pulangan tahunan dalam bentuk dividen dan bonus.

Malahan kelebihan menyimpan di dalam TH ini adalah dengan kefahaman bahawa simpanan tersebut adalah selamat dan dijamin oleh kerajaan.

Duit tersebut telah disimpan di dalam instrumen-instrumen kewangan Islam, juga dengan melabur di dalam pelaburan Islam (dalam bentuk saham atau hartanah).

Sebarang pulangan tahunan yang diterima didalam bentuk dividen dan bonus adalah bersih (setelah dibayar zakat) oleh pihak TH.

Apabila pulangan yang diberikan oleh TH selama ini adalah agak tinggi berbanding dengan instrumen pelaburan lain yang berada dipasaran, maka sebahagian dari umat Islam telah mula melihat TH sebagai tempat yang menjadi pilihan kepada mereka untuk menyimpan ‘wang lebihan’ yang mereka ada, bukan lagi sebagai tempat untuk menyimpan wang untuk pergi menunaikan ibadah haji

Dalam isu ini sahaja telah membuatkan pihak pengurusan TH berada di dalam keadaan ‘tertekan’ untuk menentukan pulangan dari simpanan dari TH ini terus bersifat kompetitif kerana ia telah dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain dan juga dengan angka dana yang terus meningkat dari masa ke semasa untuk diuruskan.

Dengan lain perkataan, motif awal penubuhan TH itu sendiri telah tersasar lari, malah kita ada mendengar terdapat individu-individu  yang menyimpan wang didalam jumlah yang begitu banyak dengan niat ‘melabur’ dan bukan lagi dengan niat menyimpan untuk ke Mekah.

Apabila TH melabur di dalam syarikat-syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia, ia adalah satu bentuk pelaburan yang mengundang risiko yang tinggi (dibaca sebagai risiko tinggi, pulangan tinggi).

Saya merasakan pihak pengurusan TH telah mula (terpaksa) bertindak sebagai pengurus dana profesional yang menitikberatkan tentang pulangan, sedangkan peranan asal TH itu tadi adalah sebagai wadah untuk umat Islam menyimpan dan bukan melabur dan pihak pengurusan TH pula berperanan untuk menentukan dana tersebut terus selamat.

Saya mengharapkan pihak kerajaan dapat meneliti semula dari setiap sudut supaya membolehkan TH meneruskan peranan asalnya sebagai tempat umat Islam menyimpan (menabung) untuk menunaikan haji.

Sebarang tindakan yang tidak betul selama ini perlulah diperbetulkan dan sebarang salah laku juga perlulah dibawa kemuka pengadilan.

Banyak pelaburan-pelaburan yang dibuat sebelum ini telah mengalami kerugian yang sangat besar yang perlu ditanggung oleh TH (penyimpan?)

Didoakan agar TH terus dapat menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan terutama apabila mereka menerima duit dari orang ramai yang berniat untuk menunaikan tuntutan ibadah haji dan bukan sebagai wadah pelaburan.

Nazarry Rosli, Kuala Lumpur.