Seorang pelanggan membaca risalah pewartaan tempat larangan merokok semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette. foto SYAFIQ AMBAK, 01 JANUARI 2019
Seorang pelanggan membaca risalah pewartaan tempat larangan merokok semasa tinjauan lensa MalaysiaGazette. foto SYAFIQ AMBAK, 01 JANUARI 2019

MELAKA – Penguatkuasakan larangan merokok di semua premis makan bermula hari ini tidak menjejaskan industri pelancongan di negeri ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata pihaknya berharap Kementerian Kesihatan bersama pengusaha dan peniaga makanan boleh bekerjasama bagi menjayakan pelaksanaan larangan merokok selain duduk semeja bagi menyelesaikan isu yang berbangkit.

Kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh terhadap usaha kerajaan persekutuan itu bagi mengutamakan kesihatan orang ramai, terutama di tempat awam bertepatan dengan konsep Melaka pintar, hijau, bersih yang diterap pentadbiran kerajaan negeri.

“Konsep Melaka pintar, hijau, bersih bukan tertumpu kepada satu sudut aspek kebersihan sahaja, (sebaliknya) ia meliputi semua perkara,” katanya kepada pemberita selepas menyambut pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) di Batu Berendam di sini, hari ini.

Larangan yang berkuatkuasa tengah malam tadi memperuntukkan individu yang didapati melakukan kesalahan merokok di tempat larangan didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Bagi pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Untuk kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga setahun.

Terdahulu, Adly turut menyambut pengunjung ke Melaka di Plaza Tol Ayer Keroh dan Kompleks Kuarantin Kastam dan Imigeresen (CIQ) Melaka di Sungai Melaka di sini.

Sementara itu, Adly berkata kerajaan negeri juga akan mempergiatkan lagi kempen TMM 2019 sepanjang tahun ini dengan 185 program dan acara termasuk satu acara mega setiap bulan yang dirancang bagi mencapai sasaran 20 juta pengunjung tahun ini.

Beliau berkata kerjasama semua pihak antara pihak kerajaan negeri, pihak swasta, pengiat industri termasuk pihak pengusaha dan peniaga juga dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk menambah baik industri pelancongan.

“Di samping 13 sub sektor pelancongan negeri termasuk sejarah, budaya, sukan, kesihatan, agro pelancongan dan eko pelancongan, kita melihat bidang pendidikan juga mampu menarik lebih ramai pengunjung sama ada domestik, luar negeri dan luar negara,” kata Adly.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Low Chee Leong berkata pihaknya menerima pakai papan tanda larangan merokok yang mempunyai tulisan tambahan selain bahasa Malaysia bagi memudahkan pelancongan dari luar negara memahami larangan berkenaan.

“Melaka merupakan destinasi tumpuan pelancong sama ada domestik dan luar negara seperti dari China dan Eropah dan tambahan tulisan selain Bahasa Melayu akan memudahkan pemahaman mereka,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Low berkata pihaknya juga menyeru kepada pengusaha premis supaya memastikan tiada pengunjung yang merokok dalam premis, bangunan atau tempat mereka dan tidak menyediakan bekas abu rokok di premis mereka.

— BERNAMA