BANGKOK – Gara-gara tidak tahan dihina dan diberi layanan yang tidak ‘sepatutnya’, seorang lelaki sanggup bertindak luar dugaan dengan menembak mati keluarganya sendiri di Phato di wilayah Chumpon, Thailand lewat malam tadi.

Bangkok Post melaporkan, lelaki berkenaan, Sucheep Sornsung menyertai keluarga isterinya menyambut Tahun Baru dalam keadaan mabuk.

Sornsung yang ketika itu mula marah-marah kerana keluarga mentuanya seolah-olah tidak menghormati kehadiran dirinya apabilla memulakan sambutan Tahun Baharu bersama isteri dan anak-anaknya tanpa menunggu dia.

Secara tiba-tiba sahaja setelah 10 minit menyertai sambutan tahun baharu itu, Sornsung bangkit dan mula melepaskan tembakan rambang sambil meracau-racau menjerit-jerit bertanya mengapa tidak menghormatinya.

Dia kemudian mula menembak secara bertalu-talu keseluruhan keluarga isterinya seramai empat orang sebelum menembak kedua-dua anak-anaknya dan akhirnya diri sendiri.

Jurucakap polis Phato, Leftenan Kolonel Larp Kampapan berkata,Sornsung bertindak demikian kerana marah, selain daripada mabuk sehingga menyebabkan berkelakuan tanpa waras dan perikemanusian.

“Semua mangsa ialah anggota keluarganya termasuk anak lelaki dan anak perempuannya yang baru berusia sembilan dan enam tahun.

“Dia minum dengan begitu banyak sehingga tidak dapat kawal dirinya langsung.

“Mereka ditembak sama ada di kepala atau di perut. Sucheep marah kerana sebagai menantu, dia tidak disambut keluarga isterinya. Kerana tidak tahan, dia yang memang memiliki sepucuk pistol bertindak menembak kesemua mereka.

“Pada awalnya, semua menyangka dia hanya mengacah sahaja tetapi tembakan bertalu-talu itu juga menyebabkan keadaan sekeliling gamat seketika. Selepas menembak mati semua, dia menembak kepalanya sendiri,” kata Kampapan kepada media sebentar tadi. –MalaysiaGazette