Dr. Mahathir Mohamad

LANGKAWI – Penetapan harga runcit produk petroleum yang akan diputuskan pada mesyuarat jemaah menteri esok, akan mengambil kira kepentingan pembeli serta penjual.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menjadi harapan kerajaan agar dapat menurunkan harga minyak, namun pelbagai aspek perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

“Kita (kerajaan) suka nak turunkan harga minyak tapi orang yang jual minyak pun kena buat duit sikit, kalau dia tak buat duit dia tak jual minyak dan kita tak dapat minyak.

“Jadi kita kena timbang dahulu antara pembeli dan penjual (sebelum buat keputusan berkaitan harga minyak),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ‘Program Back to School eKasih Langkawi ‘ di Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang di sini, hari ini.

Semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan buat masa beberapa hari ini, sehingga pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri, yang akan bermesyuarat pada 2 Jan 2019, diperoleh.

Pada masa ini, harga runcit bagi RON95 adalah RM2.20 seliter, RON97 (RM2.50) dan diesel (RM2.18).

Dalam perkembangan lain Dr Mahathir berkata kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengarahkan pemberian kontrak secara kronisme adalah pandangan peribadi beliau dan tidak sama sekali mewakili parti.

“Itu bukan keputusan parti, dia suarakan pendapat dia dan kita tak pegang pada itu. Kita tak mahu buat macam Najib (bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tub Razak) buat, bagi (projek) kepada kawan-kawan.

“Kita akan pertimbang semua projek diberi ikut tender, siapa ada kebolehan boleh masuk tender dan kalau boleh buat terbaik kita bagi,” katanya.

Abdul Rashid dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua BERSATU di Putrajaya baru-baru ini berkata peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) perlu dikembalikan supaya sistem itu dapat memanfaatkan ketua bahagian dan ketua cawangan supaya mereka dapat ‘memulangkan’ semula faedah yang diperoleh demi kebaikan masyarakat setempat.

Beliau dilaporkan berkata dengan mengembalikan semula peranan JPP, segala projek pembangunan dapat disalurkan kepada ketua bahagian dan ketua cawangan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.