Sebahagian pengunjung memegang kertas yang memaparkan ‘Selamat Tahun Baru’ pada Majlis Penutupan Festival Light And Motion Putrajaya (Lampu) 2018 dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2019 di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap tahun baharu 2019 akan membawa tuah dan nikmat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Malah, beliau turut berharap agar rakyat menyambut tahun baharu ini dengan rasa yang tenang dan gembira.

“Saya yakin tahun baru ini akan bawa banyak nikmat kepada kita. Kita akan sambut tahun ini dengan rasa senang dan gembira.

“Saya yakin kita akan bekerjasam bangunkan negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baru 2019di Dataran Putrajaya di sini malam ini.

MGF31122018_SAMBUTAN TAHUN BARU07
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali (dua kanan) dan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad (kiri) mengibarkan jalur gemilang pada Majlis Penutupan Festival Light And Motion Putrajaya (Lampu) 2018 dan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2019 di perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 31 DISEMBER 2018

Bagaimanapun, Mahathir menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan dan mencorak bagaimana usaha membangunkan negara itu hendak dilakukan.

Katanya, rakyat harus bersyukur kerana negara ini dapat dipacu dengan baik dan aman.

Perdana Menteri turut mengajak rakyat berusaha dengan lebih gigih lagi pada tahun 2019 ini agar Malaysia dapat mencapai matlamat menjadi negara maju menjelang tahun 2025.

“Inilah cita-cita kita. Kita akan cetuskan keamanan dan suasana damai di negara. Kita akan sama-sama membangunkan negara kita.

“Ini harapan kita semua. Saya ingin ucap tahun baru dengan gembira, ” ujarnya.

Terdahulu, lebih 5,000 pengunjung yang hadir pada sambutan itu berpeluang menyaksikan persembahan lampu digital yang dipancarkan ke bangunan Istana Kehakiman.

Acara kemuncak pada sambutan itu diserikan dengan pertunjukkan bunga api sebanyak dua kali tepat jam 12 malam sebelum semua yang hadir berdiri tegak menyanyikan lagu Negaraku bersama barisan pimpinan negara yang hadir. – MalaysiaGazette