Abdul Rashid
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberi ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 30 DISEMBER 2018.

“Melayu perlu lindungi diri sendiri”

“Melayu perlu berdikari, tak boleh bergantung bantuan kerajaan selamanya”

“Melayu malas”

Kesemua ini antara ungkapan yang pernah diucapkan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Antaranya Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mereka sentiasa mempersoalkan kehidupan orang Melayu kononnya, orang-orang Melayu terlalu bergantung harap denganĀ bantuan kerajaan sehinggakan negara tidak boleh maju ke hadapan.

Sepatutnya sebelum mana-mana pemimpin Bersatu ingin memberi nasihat kepada rakyat untuk tidak menjadi Melayu yang malas seeloknya berikan dahulu kuliah percuma itu kepada ahli-ahli Melayu dalam Bersatu.

Belum pun ada perkara yang dilakukan boleh dibanggakan tetapi sudah berani meminta macam-macamĀ dari kerajaan.

Baru-baru ini, Naib Presiden Bersatu, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman sendiri menggesa kerajaan memberikan jawatan serta kontrak kepada ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua cawangan Bersatu, termasuk wakil-wakil yang kalah di Kelantan dan Terengganu diberikan faedah seperti jawatan dan kontrak.

Apabila ahli-ahli Bersatu sendiri lantang meminta-meminta tanpa rasa malu, ia mengambarkan dengan jelas bahawa prinsip perjuangan mereka bersandarkan kepada pangkat dan wang semata-mata. Bukannya untuk berkhidmat untuk negara mahupun rakyat.

Jadi inikah yang dinamakan Malaysia Baharu?

Desakan ini sama sekali tidak mengejutkan mana-mana pihak kerana perkara ini sudah dijangka apabila Bersatu berada di blok kerajaan. Tetapi hairannya bukankah Bersatu dikatakan mempunyai perjuangan yang ikhlas dan suci? Jadi inilah perjuangan yang suci yang dibangga-banggakan oleh Bersatu?

Ini bukan perjuangan suci tetapi ini perjuangan lanun-lanun secara terang-terangan yang ingin memusnahkan negara.
Dahulunya sibuk menghina, mencaci dan pelbagai lagi tuduhan berbakul-bakul terhadap ahli UMNO kerana makan rasuah, perompak dan sebagainya tetapi sekarang apa bezanya? Tidak ubah seperti meludah ke langit jatuh ke
muka sendiri.

Betullah kata pepatah Melayu, satu jari telunjuk menunjuk orang tetapi dalam tidak sedar empat jari lagi menunding ke diri sendiri. Malah kini sudah terang lagi bersuluh selama ini orang-orang yang merosakkan UMNO bukanlah yang berada dalam UMNO pada hari ini tetapi orang-orang yang sudah pun menyertai Bersatu pada hari ini.

Walaupun Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq menyangkal pandangan ini tetapi tidak boleh dinafikan lagi rata-rata perwakilan yang berada dalam perhimpunan tersebut bersorak meraikan pandangan Naib Presiden mereka.

Namun yang menarik perhatian saya adalah kenyataan Syed Saddiq yang mengatakan sehingga ada perwakilan yang berani untuk menyebut nama Menteri yang menjanjikan (kontrak) kepada mereka.

Persoalannya, siapakah Menteri yang dimaksudkan oleh Syed Saddiq itu?

Adakah ini merupakan rancangan yang sudah dirancang sebelum tertubuhnya gabungan parti Pakatan Harapan? Jika
perkara ini benar-benar berlaku nampaknya perjuangan untuk membela nasib rakyat hanya retorik kerajaan pada hari ini sahaja.

Dhia Hani,
Persatuan Pemikir Muda Johor