Seorang pengamal perubatan Islam disyaki mencabul seorang wanita yang sedang mendapatkan rawatan.

JOHOR BAHRU – Reman terhadap ibu tiri dan bapa kandung seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia dipercayai didera, akhir bulan lepas, disambung tujuh hari lagi bermula esok.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata permohonan pihaknya untuk melanjutkan tempoh reman pasangan suami isteri itu diluluskan mahkamah, hari ini, selepas tempoh reman sebelum ini, berakhir hari ini.

Beliau berkata pasangan terbabit sebelum ini dibenarkan direman tujuh hari mulai 27 Dis lepas sehingga hari ini sebelum dibenarkan dilanjutkan tujuh hari lagi mulai 3 Jan sehingga 9 Jan.

Beliau berkata kedua-dua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 26 Dis lepas, polis menahan suami isteri berumur 33 dan 23 tahun itu selepas polis menerima laporan mengenai kematian kanak-kanak itu daripada Hospital Sultan Ismail, di sini, awal hari sama.

Mangsa dihantar dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terdapat kesan lebam serta bengkak pada bahagian muka, dada, perut dan kedua-dua betis.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan objek tumpul di bahagian badan.

Polis kemudian turut menjalankan pemeriksaan ke atas dua adik lelaki mangsa yang berusia tiga dan setahun yang turut disyaki didera.

Kedua kanak-kanak itu kini ditempatkan di wad khas kanak-kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

— BERNAMA