Keputusan kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu mengambil kira kebajikan 7,000 pekerja di jajaran rel berkenaan di Terengganu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan, apabila berlaku pengecilan skala projek serta pengurangan skop kerja sudah semestinya menyebabkan kos pembinaan menurun berbanding perjanjian asal.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- “Orang miskin dan Pantai Timur juga berhak menikmati sistem pengangkutan yang moden, selamat dan cepat,” kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak menguntungkan kerajaan kerana hanya digunakan oleh golongan miskin dan bukan ahli perniagaan besar.

Jelas Najib, beliau telah berulang kali menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendedahkan laporan kebolehlaksanaan projek ECRL itu.

Ini termasuk melibatkan limpahan ekonomi, sumbangan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan hasil daripada projek pembangunan berasaskan pengangkutan kepada kawasan di sekitar stesen-stesen di setiap negeri yang terlibat.

Bagaimanapun sehingga kini masih tiada jawapan daripada kerajaan PH, katanya.

“Ya, mungkin tidak ramai yang akan menggunakan laluan ECRL dan penggunanya kebanyakannya adalah orang miskin dan tidak membuat perniagaan yang besar seperti di laluan rel Pantai Barat, jadi kerajaan mungkin tidak akan mendapat pulangan yang besar seperti didakwa oleh kerajaan PH.

“Tetapi orang miskin dan Pantai Timur juga berhak menikmati sistem pengangkutan yang moden, selamat dan cepat.

“Mereka juga berhak untuk diberi peluang untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang ketara,” katanya di dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum itu, menurut Mahathir, projek laluan rel sepanjang 688 kilometer yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pengkalan Kubor di Kelantan itu adalah satu pembaziran kerana kerajaan tidak akan mendapat apa-apa manfaat daripadanya.

Jelasnya, jajaran keretapi Pantai Barat juga tidak memberi pulangan kepada kerajaan walaupun digunakan ramai.

“Tidak ramai yang akan menggunakan laluan ECRL dan penggunanya kebanyakannya adalah orang miskin dan tidak membuat perniagaan yang besar seperti di laluan rel Pantai Barat, jadi kerajaan tidak akan mendapat pulangan (daripada pelaburan terhadap projek ECRL).

“Pulangan daripada projek berkenaan boleh dikatakan ‘kosong’ dan kita terpaksa membayar semula hutang bernilai RM55 bilion,” katanya dalam satu tembual dengan Sin Chew Daily yang disiarkan hari ini.-MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/02/projek-ecrl-mungkin-diteruskan-tetapi-dalam-skala-kecil-pm/