Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Kesemua imam yang didakwa dipecat sebenarnya hanya ditukarkan kerana faktor umur, kata Mufti Perlis.

Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, kuasa menukar imam merupakan kuasa Jabatan Agama Islam Perlis dan bukan pejabatnya.

“Imam yang dikatakan telah dipecat, pecat maksudnya kerja elok-elok kena buang..itu nama dipecat dan satu lagi tidak disambung. Dua keadaan tapi beza, pecat dan tak sambung,” ujarnya ketika menyampaikan kuliah Maghrib secara langsung di Masjid Alwi, Kangar, Perlis.

Menurut Mohd. Asri atau lebih dikenali sebagai Maza, penukaran imam-imam itu kerana mereka telah berusia melebihi 60 tahun dan sekiranya mengikut peraturan mereka boleh ditukarkan dan dikekalkan mengikut budibicara Majlis agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Jadi, katanya, tidak timbul soal imam berkenaan dipecat kerana tidak membaca qunut semasa solat Subuh, membaca bismillah dengan kuat dan sebagainya.

“Ada depa kata pasal buat gotong royong, kata pasal kami bernasyid padahal MAIPs bernasyid sakan,” katanya sambil menganggap isu sedemikian sebenarnya bukan sesuatu yang pelik.

Lagi pun, katanya, isu di Malaysia hanya panas dalam masa lima hari sahaja dan biasanya selepas itu ia akan padam.

Lagi pun, menurut beliau, dalam usaha memajukan perkembangan Islam di Perlis, negeri itu memerlukan imam baharu yang lebih muda dan cergas.

“Bukan buang, ganti imam,” ujarnya sambil menambah ada juga imam yang berdisiplin turut ditukarkan kerana faktor umur dan mereka membaca qunut.

Sebelum itu, kecoh apabila pemecatan 25 orang imam dan 10 lagi yang ditukarkan di Perlis mulai 1 Januari lalu dan ada mengaitkan dengan fahaman Wahabi yang dibawa oleh Maza.- MalaysiaGazette

Imam yang dipecat diminta bertenang, jangan jejaskan nama baik