Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution (tengah) menunjukkan kebolehan ketika melawat pasaraya bersama Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chien Jen (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie (dua kanan) pada Pelancaran Tesco Ong Mali 2019 sempena Tahun Baru Cina di Tesco Kepong Village Mall, Bandar Manjalara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengumumkan sistem penetapan harga runcit produk petroleum esok.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan penetapan sistem harga itu telah dibuat kabinet pada mesyuarat mingguan yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

“Kurang daripada 24 jam, kami akan membuat pengumuman dan kita hanya perlu menunggu.

“Kira-kira harga itu dibuat oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan kemudian akan dimaklumkan kepada KPDNHEP sebelum diumumkan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Majlis Pelancaran Kempen Ong Mali 2019 oleh Tesco Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata ketetapan sistem harga runcit itu telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak untuk dilaksanakan.

Kerajaan menerusi MOF pada 23 Dis lepas mengumumkan mulai 1 Jan 2019, harga bahan api termasuk RON95, akan mula diapungkan secara mingguan.

Sistem apungan mingguan yang sepatutnya bermula pada 1 Jan itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan antaranya kerana perlu mengkaji pandangan pengusaha stesen minyak berhubung sistem penetapan harga runcit baharu.

Buat masa ini, RON95 berharga RM2.20 seliter, RON97 pada RM2.50 seliter dan RM2.18 seliter bagi diesel.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan akan mengumumkan harga kawalan bagi musim perayaan Tahun Baru Cina dalam masa terdekat.- BERNAMA