Kalau kerajaan mahu melarang penjualan di restoran, maka kerajaan perlu menggubal undang-undang untuk melarang. - Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia- Singapura, Datuk Ho Su Mong.

SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengeluarkan 70 notis amaran kepada individu yang melakukan kesalahan merokok di premis makanan dalam tempoh tiga hari operasi penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan di negeri ini sejak 1 Jan lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (pindaan 2018) itu turut mengeluarkan 297 notis amaran terhadap pemilik premis (makan) kerana tidak mempamerkan tanda larangan merokok kerana menyediakan bekas abu rokok serta membenarkan perokok merokok di dalam premis dan kawasan yang diwartakan.

“Sebanyak 566 premis makanan telah diperiksa dan 1,561 risalah berkaitan kawasan larangan merokok telah diedarkan sepanjang tiga hari penguatkuasaan pendidikan dijalankan di seluruh Negeri Sembilan. Seramai 152 pegawai kesihatan terlibat dalam operasi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penguatkuasaan pendidikan dan pengedaran risalah larangan merokok di Medan Selera Penghulu Cantik di sini, hari ini. Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri Dr. Ahamad Jusuh.

Katanya Jabatan Kesihatan negeri telah menyusun pasukan menjalankan penguatkuasaan pendidikan dengan memberi nasihat kepada pemilik premis makanan serta perokok agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Katanya pasukan petugas akan membuat rondaan berjadual dan mengejut terutamanya di kawasan berisiko tinggi dan akan bertindak atas maklumat daripada orang awam yang prihatin dengan langkah mensejahterakan rakyat ini.

Beliau juga berkata semua pemilik tempat makan diwajibkan mempamerkan tanda larangan merokok di tempat yang mudah dilihat dan sekiranya gagal boleh dikenakan kompaun RM250. Sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau 6 bulan penjara.

— BERNAMA