foto SYAFIQ AMBAK, 04 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Bermula 12 tengah malam ini sehingga 11 Januari – harga runcit RON97 akan diturunkan sebanyak 27 sen kepada RM2.23 seliter manakala petrol bersubsidi RON95 akan diturunkan kepada RM1.93 seliter berbanding RM2.20 sekarang.

Harga runcit diesel pula akan diturunkan sebanyak 14 sen kepada RM2.04 seliter berbanding RM2.18 seliter sebelum ini.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pengumuman harga runcit bahan api itu akan diumumkan pada Jumaat setiap minggu untuk dikuatkuasakan pada Sabtu berikutnya.

“Perlu ditegaskan bahawa harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019.

“Keputusan pelarasan semula harga runcit produk petroleum ini juga telah pun mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, termasuk permintaan Petroleum Dealers Association of Malaysia (PDAM) yang telah bertemu dengan Perdana Menteri dan memohon supaya diteliti semula kadar margin pengusaha stesen minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula APM yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng, kerajaan telah bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan RON97 serta 10 sen seliter bagi produk diesel.

Ini merupakan tambahan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan 3 sen seliter bagi diesel, berbanding dengan kadar semasa iaitu 12.19 sen seliter bagi petrol dan 7.00 sen seliter bagi diesel.

Kali terakhir kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak ini disemak semula adalah pada tahun 2008.

Katanya, kerajaan akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat. -MalaysiaGazette