KUALA LUMPUR – Kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong dan Jiao Zong menyeru kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya bersungguh-sungguh menunaikan janji mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) di sekolah-sekolah.

Dalam satu kenyataan bersama kumpulan berkenaan hari ini mereka menegaskan, pengiktirafan UEC ialah satu isu pendidikan dan ia harus berbalik kepada perbincangan dari sudut pendidikan.

Malah pengiktirafan UEC harus dikendalikan secara pragmatik, profesional dan rasional daripada aspek akademik dan pembangunan modal insan negara.

“Dong Zong dan Jiao Zong ingin mengingatkan sekali lagi bahawa pengiktirafan UEC merupakan antara janji dalam manifesto PH pada pilihan raya umum.

“Setelah memenangi pilihan raya umum dan menerajui Kerajaan Persekutuan, maka kerajaan PH seharusnya menunjukkan pemikiran baru dalam tadbir urus kerajaan untuk mengendalikan pengiktirafan UEC dan bersungguh-sungguh menunaikan janji untuk mengiktiraf UEC selaras dengan manifesto PH pada pilihan raya umum,” katanya mereka  menerusi kenyataan itu.

Dalam pada itu, kedua-dua pertubuhan Cina itu juga mahu semua pihak mengemukakan pandangan mereka kepada pasukan petugas yang dilantik agar satu laporan dapat disediakan.

“Memandangkan Kementerian Pendidikan dalam proses pengendalian pengiktirafan UEC telah menubuhkan Pasukan Petugas Dasar UEC bagi mengkaji dan mengumpul maklumat UEC dan pandangan pelbagai pihak, yang kemudiannya akan mengemukakan laporan kepada Menteri Pendidikan untuk dibentangkan dalam Kabinet, maka semua pihak boleh mengemukakan pandangan mereka kepada pasukan petugas tersebut,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette