Sejak menyertai PPBM, Tok Pa tidak lagi dihormati ahli UMNO dan kepimpinan PH Jeli.
Sejak menyertai PPBM, Tok Pa tidak lagi dihormati ahli UMNO dan kepimpinan PH Jeli.

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar UMNO, bukan sahaja tidak disenangi parti itu, malah kepimpinan Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Parlimen Jeli juga dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan beliau menyertai Pakatan Harapan (PH).

Desas desus yang bertiup kencang di Jeli mendakwa, pemimpin dan ahli PAN serta PPBM kawasan itu telah memboikot beberapa program yang dihadiri Mustapa yang merupakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurut sumber dalaman, kepimpinan PAN dan PPBM Jeli berbuat demikian dengan alasan Mustapa adalah orang baharu yang melompat masuk parti PH, tetapi mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadi ketua di kawasan itu.

“Kita tentang beliau atas beberapa kemungkaran yang dilakukannya ke atas parti PH ketika masih dalam UMNO pada kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

“Beliau dan jenteranya mencerca kami dan memfitnah kami dengan pelbagai kata nista, tetapi hari ini beliau masuk PH dan mahu menjadi ketua kami,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas sumber itu lagi, sebagai orang baharu, Mustapa sepatutnya merendahkan diri datang ke program anjuran PH, bukannya mereka dipaksa pergi ke majlisnya.

Katanya, mereka masih ingat cara kerja bekas Ketua UMNO Bahagian Jeli itu ketika program pembahagian bantuan untuk rakyat miskin di parlimen itu sebelum ini.

“Kami, penyokong PAN dan PPBM tidak pernah disenaraikan sebagai penerima bantuan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN). Yang dapat hanya golongan menyokong kuat UMNO,” katanya.

Sumber itu turut mengingatkan penduduk Jeli bahawa Mustapa sekarang adalah Ahli Parlimen biasa PPBM dan tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan dalam parti baharu itu.

“Dia yang baharu melompat parti hanyalah Ahli Parlimen biasa. Beliau tiada apa-apa. Jangan pula kita pejuang awal PH memberi sokongan kepadanya.

“Kami dapat tahu, kepimpinan dan ahli UMNO Bahagian Jeli pun sudah tidak terimanya lagi,” dakwa sumber itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. itu lah dengki namanya campur dendam pula. kesian tok pa. sabar datok . hari hadapan masih panjang

Comments are closed.