ALOR SETAR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih menempatkan anggotanya di kawasan-kawasan pantai di Pulau Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Muda bagi memantau persekitaran walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sudah mengeluarkan notis penamatan amaran ribut tropika Pabuk pada pukul 11 pagi tadi.

Pegawai Operasi dan Bencana APM Kedah, Kapt (PA) Saifuddin Abdullah berkata, pemantauan di kawasan-kawasan pantai itu akan diteruskan sehingga petang ini sebagai langkah berjaga-jaga.

“Aktiviti sukan air di kawasan pantai Langkawi yang dihentikan semalam juga sudah dibenarkan untuk kembali beroperasi seperti biasa, namun semua pihak diminta supaya lebih peka dan berhati-hati,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Semalam, Pengarah APM Kedah, Lt Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob dilaporkan berkata, berdasarkan ramalan MetMalaysia, Langkawi dijangka menerima tempias ribut tropika itu bermula pukul 2.00 petang ini.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan bahawa ribut tropika Pabuk sedang bergerak ke arah barat laut di Teluk Siam dengan merentasi Segenting Kra ke Laut Andaman dan keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat di negeri-negeri utara Semenanjung. – MalaysiaGazette