Dr Dzulkifli Abdul Razak,

KUALA LUMPUR – Spekulasi pelantikan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai presiden baharu universiti berkenaan bagi menggantikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, masih menjadi tanda tanya.

Rektor UIAM, Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak, tanpa menamakan mana-nama individu, berkata, perbincangan mengenai pelantikan itu masih berlangsung antara Kementerian Pendidikan dan Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

“Perkara ini (urusan pelantikan) masih sedang berlangsung dan kita perlu mendapat perkenan Sultan Pahang. Terserah kepada Tuanku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Makmal Kemanusiaan 2.0, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris hari ini yang menyebut Mohd Daud dikatakan bakal dilantik sebagai Presiden UIAM.

Persidangan sehari anjuran Mercy Malaysia itu turut dihadiri Pengarah Eksekutif Pusat Rohingya ASEAN, Tan Sri Syed Hamid Albar, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus dan wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Racel Demas.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, UIAM bagaimanapun bersedia dan terbuka menerima sesiapa saja yang bakal dilantik bagi jawatan itu.

“Bagaimanapun, kami meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap pilihan yang dibuat oleh kementerian. Setakat ini, Maszlee masih menjalankan tugas sebagai presiden kerana tidak ada surat rasmi (peletakan jawatan),” katanya.

Sebelum ini, lantikan Maszlee bagi jawatan utama universiti tu menjadi kontroversi apabila mendapat bantahan dan pihak tertentu yang mempersoalkan kelayakan beliau yang memegang portfolio sebagai menteri Kabinet selain bercanggah dengan intipati manifesto Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada November lepas, Maszlee mengumumkan untuk melepaskan jawatan itu, namun tidak berkuasa serta merta kerana perlu menyelesaikan beberapa isu berkaitan termasuklah mencari penggantinya. – MalaysiaGazette