Syahir Sulaiman
Mohd Syahir Che Sulaiman

KUALA LUMPUR – Daripada 33 analisis dan pandangan yang ditulis Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai pembongkaran pelaburan Tabung Haji yang merugikan penabung, berapa kes telah dilaporkan kepada Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Syahir Sulaiman ketika melontarkan pertanyaan itu berkata, berapa pula kertas siasatan telah dibuka bersandarkan analisa Pengasas INVOKE Malaysia itu.

“Saya juga nak bertanya kepada Rafizi, daripada jumlah analisis dan pandangannya itu berapa kes salahlaku yang telah didakwa dan berapa pula pesalah yang sudah disabitkan oleh pihak mahkamah?

“Dalam penulisan terbaharunya yang menegur Presiden Pas agar jangan mudah berpuas hati dalam isu Tabung Haji, juga dilihat suatu analisis yang ‘menarik’,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Syahir, berdasarkan tulisan itu, jelas bekas Ahli Parlimen Pandan itu menulis dengan memetik laporan berita dari portal Malaysiakini dan sebahagian ucapan Abdul Hadi ketika berdialog dengan pelajar Malaysia di London baru-baru ini.

“Baguslah jika Rafizi tekun membongkar penyelewengan dan kerugian TH, tetapi janganlah terlalu mudah menghukum salah, apatah lagi mengaitkan orang lain yang tidak bersalah.

“Terkadang timbul juga persoalan adakah analisa dan pertuduhan yang dibuat olehnya selama ini, mempunyai merit dan asas yang kukuh untuk dipercayai?

“Jawapan kepada persoalan ini akan menilai sama ada analisa beliau selama ini boleh dipercayai atau sebaliknya,” ujar Syahir.

Menurut Syahir, pendirian Abdul Hadi dalam isu tadbir urus korporat TH adalah jelas sebagaimana terkandung dalam kenyataannya di London pada 12 Disember lalu.

Jelas beliau, kenyataan memetik Abdul Hadi sebagai berkata, Pas memandang serius tuduhan yang berlaku dalam institusi kewangan terbesar umat Islam di Malaysia itu, namun Pas berpandangan tidak wajar sekiranya pertuduhan itu dibicarakan melalui media oleh seorang menteri sehingga boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan.

Abdul Hadi juga katanya, menyarankan agar satu penilaian menyeluruh dikendalikan di bawah seliaan Majlis Raja-Raja (RCI) ataupun Parlimen bagi meneliti dan mempertimbangkan setiap syor yang dikemukakan oleh juruaudit bebas yang telah dilantik (PWC), sebelum dilaksanakan oleh kerajaan yang masih baharu dan kerap membatalkan keputusan yang dibuat mereka sendiri.

Selain itu, katanya, Ahli Parlimen Marang itu turut menasihatkan kerajaan tidak mempolitikkan isu berkenaan sehingga merosakkan imej TH, dan tidak bersikap berat sebelah dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah serta penyelewengan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang belum disiasat dan didakwa sehingga hari ini.

“Malah pendirian Presiden Pas dalam isu 1MDB juga jelas menolak segala unsur penyelewengan dan menggesa agar diadakan siasatan RCI secara bebas.

“Ini terkandung dalam sebuah makalah yang menghimpunkan segala kenyataan, ceramah dan ucapan parlimen oleh Abdul Hadi dalam isu 1MDB setebal 106 muka surat dan boleh difahami oleh mereka yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan.

“Hakikatnya Abdul Hadi tidak pernah sekalipun ‘berpuas hati’ terhadap laporan penyelewengan yang didakwa berlaku di TH dan 1MDB, apatah lagi ‘menyucikan’ segala salahlaku yang didakwa berlaku di TH dan 1MDB,” ujarnya. – MalaysiaGazette