Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau melahirkan rasa sedih berhubung keputusan itu memandangkan peristiwa pertukaran kerajaan susulan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke14, Mei lalu, adalah satu peristiwa bersejarah kepada negara yang berlaku dan disaksikan semasa pemerintahan baginda.

“Baginda juga memberi pengampunan kepada suami saya (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kami hormati keputusan Seri Paduka,” katanya selepas menghadiri jamuan malam Makmal Kemanusiaan 2.0 anjuran Mercy Malaysia di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai peletakan jawatan itu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, petang tadi. – Bernama