SANDAKAN – Seorang maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua kenderaan pacuan empat roda di Beluran, kira-kira 130km dari sini, pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, panggilan kecemasan diterima pukul 5.20 pagi dan sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bergegas ke tempat kejadian.

Mangsa yang cedera parah berjaya dikeluarkan dari kenderaan jenis Mitsubishi Triton, namun mangsa dalam satu lagi kenderaan iaitu jenis Toyota Hilux meninggal dunia di tempat kejadian.

Setakat ini, maklumat mengenai mangsa belum diperoleh dan kes itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala semua mangsa dibawa ke Hospital Beluran. – Bernama