Peniaga menyusun telur untuk dijual kepada orang ramai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2019
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Laporan mengenai kenaikan harga telur sebagai respon kepada keresahan peniaga di Pasar Keramat yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam telah siap.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam sidang media di sini.

Bagaimanapun, menurut Saifuddin, beliau belum sempat meneliti laporan yang disediakan oleh Bahagian Penguatkuasa kementerian selepas membuat lawatan ke pasar berkenaan.

“Pegawai kementerian telah pergi ke Pasar Keramat dan mereka telah menyiapkan laporan itu namun saya belum sempat baca lagi.

“Pihak kementerian sentiasa respon dengan aduan Najib sebagaimana aduan rakyat biasa lain.

“Dan saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih atas makluman yang disampaikan Najib dan meminta beliau membantu menyampaikan aduan kepada pihak kementerian dengan lebih kerap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media selepas majlis Anugerah Penerima Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.

Najib melalui Facebooknya semalam mendakwa peniaga merungut harga telur di pasaran telah naik.

ARTIKEL BERKAITAN: Harga telur: Menteri kata turun, peniaga kata naik – Najib

Rungutan tersebut disuarakan kepada beliau ketika berkunjung ke Pasar Datuk Keramat untuk bertemu serta bersarapan dengan beberapa peniaga dan penduduk di situ. – MalaysiaGazette