Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan mengagihkan hasil cukai pelancongan kepada Sarawak walaupun negeri itu masih berhutang sebanyak RM2.5 bilion dengan kerajaan pusat.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, agihan 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada kerajaan negeri akan dilakukan setelah perakaunannya untuk tahun 2018 dimuktamadkan dan pembayaran akan dilakukan di pada suku pertama tahun ini.

“Kerajaan Persekutuan akan melakukan agihan tanpa mengira sama ada Kerajaan Negeri masih berhutang kepada Kerajaan Persekutuan atau terdapat tunggakan hutang.

“Ini bermakna Sarawak tetap akan menerima bayaran Hasil Cukai
Pelancongan sungguhpun Sarawak masih berhutang RM2.5 Bilion dengan tunggakan hutang hampir RM50 Juta kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas dakwaan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa kerajaan negeri Sarawak telah didiskriminasi kerana tidak dibayar hasil cukai tersebut.

Menurut Guan Eng, Kementerian Kewangan kesal dengan sikap Kerajaan Negeri Sarawak yang menunjukkan sikap tidak rasa bersalah sungguhpun telah membuat satu dakwaan palsu dalam media bahawa agihan hasil cukai pelancongan untuk tahun 2018 telah pun dibayar kepada kerajaan negeri Sabah tetapi tidak kepada kerajaan negeri Sarawak.

Tambah beliau, sekiranya kerajaan negeri Sarawak masih mahu memanjangkan perkara itu berdasarkan dakwaan palsu yang berbentuk fitnah, ia akan menimbulkan keraguan terhadap keikhlasannya  untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan.

“Sebaliknya, perbuatan tersebut akan dilihat sebagai bermotif politik untuk menanam kebencian terhadap Kerajaan Persekutuan,” tambah beliau.

Jelasnya, kerajaan negeri Sarawak begitu ghairah menentang kerajaan persekutuan sehingga sanggup membuat dakwaan dengan fakta dan angka yang tidak berasas.

“Amatlah mudah untuk Kerajaan Negeri Sarawak mengesahkan sama ada pembayaran Hasil Cukai Pelancongan telah dilakukan dengan menulis surat kepada Kementerian Kewangan.

“Malangnya, Kerajaan Negeri Sarawak gagal berbuat demikian dan memilih untuk menyerang Kerajaan Persekutuan berdasarkan dakwaan palsu yang berbentuk fitnah,” katanya sambil menambah kerajaan persekutuan telah menjelaskan bahawa pembayaran hasil cukai pelancongan masih belum dilakukan dan akan diterima oleh semua negeri tanpa diskriminasi.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata, menurut perlembagaan persekutuan, cukai itu dibayar kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tiada hak terhadap hasil daripada cukai.

Namun, Menteri Kewangan itu, atas dasar hormat kerajaan persekutuan terhadap negeri-negeri, agihan 50 peratus daripada
hasil cukai tersebut akan diagihkan, seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019. – MalaysiaGazette