Pasukan Team Hollywood-Provezza dari Austalia ketika beraksi dalam acara kelas Racing memulakan perlumbaan pada hari pertama Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 8 JANUARI 2019

LANGKAWI – Kapal layar dari Australia, Team Hollywood mengungguli saingan hari pertama bagi kategori Racing pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Langkawi (RLIR) 2019 di sini, hari ini.

Memasuki hari kedua, Team Hollywood yang dikemudi skipper, Ray Roberts mengumpul 2 mata sementara kapal layar dari Thailand, THA72 berada pada kedudukan kedua dengan 4 mata.

SCS Janda Baik yang diketuai Mohd Khairul Shahril Zakaria dengan 7 mata dan diikuti rapat Zuhal juga dengan 7 mata.

“Perlumbaan yang baik untuk kami sebab ada angin yang menyebelahi kami, itu faktor utama yang diperlukan.

“Ia persaingan sengit dengan kapal layar THA72 dari Thailand dan juga dua kapal dari Tentera Laut.

“Saya ada dua skipper Melayu yang bagus, mereka beri kerjasama yang bagus dan banyak informasi yang kami dapat daripada mereka,” katanya kepada media di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC) sebentar tadi.

MGF08012019_REGATTAR17
Pasukan Uranus dari Malaysia ketika berasksi dalam acara kelas Racing memulakan perlumbaan pada hari pertama Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 8 JANUARI 2019

Namun bagi salah satu pesaing Team Hollywood, pasukan Angkatan Tentera Laut, Uranus dilihat menghadapi masalah teknikal pada pusingan hari ini.

Menurut ketuanya, Mohd Masyuri Rahmat, kapal layar mereka menghadapi masalah teknikal sehingga memungkinkan pasukan itu terpaksa menarik diri.

“Kami kehilangan pemegang layar untuk pusingan kedua.

“Sangat kecewa dan agak susah untuk dapat barang ganti. Alat ganti yang berada paling hampir adalah di Phuket dan sedang usahakan dengan Singapura dan New Zealand.

“Kalau dapat, kami boleh teruskan perlumbaan seterusnya. Kalau tidak ada alat ganti itu maka kemunculan semula saya sebagai ketua pasukan akan sia-sia,” katanya kepada media.

Untuk kelas IRC1, Mata Hari KL Registry berada di tangga teratas dan pasukan Jepun, Char Chan berada di tangga kedua.

MGF08012019_REGATTAR11
Antara aksi peserta mengawal kapal layar semasa memulakan perlumbaan pada hari pertama Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 08 JANUARI 2019

Kedua-dua pasukan diikuti rapat pasukan Australia, East Marine Emagine dengan mengumpul 7 mata.

Kelas IRC2 dikuasai pasukan daripada Thailand, Phoenix yang diketuai Niels Degenkolw.

Phoenix dihadapan dengan 2 mata dan APW Endeavour of Whitby daripada United Kingdom dengan 5 mata. -MalaysiaGazette