Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad hadir bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim (kiri) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur.foto IQBAL BASRI, 08 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Mungkin ada unsur ‘sabotaj’ dalam isu anak lelaki Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang ditahan selepas di­syaki positif ganja dalam pemeriksaan di sebuah pusat hiburan eksklusif terletak dalam sebuah hotel di Jalan Ampang awal pagi Sabtu lepas.

Itu persoalan yang didakwa Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sambil melahirkan rasa hairan bagaimana daripada kesemua 101 individu yang diperiksa hanya anak lelaki Presiden Parti Amanah Nasional (Amanah) itu dan sahabatnya sahaja dicekup kerana positif ganja.

“Ramai yang ada pada malam itu, kenapa hanya anak menteri yang kena? Saya pun pelik sebenarnya kenapa hanya dua orang sahaja yang positif dadah berbanding yang lain tapi saya tidak mahu beri komen banyak-banyak. Saya tidak mahu cakaplah,” katanya yang juga Pengarah Strategik Amanah.

Dalam insiden itu, anak Mohamad, Ahmad Saiful Islam merupakan seorang daripada 101 individu termasuk 55 wanita yang diperiksa dalam Op Hiburan oleh sepasukan pe­gawai dan anggota dari Ibu pe­jabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Difahamkan, lelaki itu bersama rakannya berusia 33 tahun sedang berhibur ketika operasi dijalankan.

Ujian saringan air kencing awal dilakukan terhadap lelaki itu kemudian mendapati dia positif dadah jenis ganja.

Ops Pusat Hiburan Bersepadu itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bermula jam 12.30 tengah malam di sekitar Jalan Ampang.

Seramai 101 individu diperiksa terdiri daripada 55 wanita dan 46 lelaki.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob, ketika dihubungi kemudian mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau juga memaklumkan bahawa kedua-dua suspek tersebut telah dibebaskan dengan jaminan polis pada sebelah petang selepas siasatan.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu atau lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu walaupun melahirkan rasa terkejut berhubungan penahanan itu telah menyerahkan kepada undang-undang untuk menjalankan tanggungjawab berhubung insiden tersebut.

Dalam pada itu, Khalid memuji tindakan presidennya yang dianggapnya profesional dan bertanggungjawab kerana mengeluarkan kenyataan anaknya tidak terkecuali daripada perundangan.

“Beliau (Mat Sabu) telah serahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil apa-apa tindakan mengikut perundangan.

“Dalam parti pula, kes ini tidak memberi apa-apa kesan kepada kepimpinan beliau dalam Amanah. Apa yang beliau lakukan juga terhadap kes ini adalah sangat tepat dan betul,” ujarnya. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/05/anak-saya-juga-tertakluk-kepada-undang-undang-mat-sabu/