Dominic Lau
Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR- Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bersedia untuk memulangkan 100 peratus dana daripada 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) sekiranya ada.

Presidennya, Datuk Dominic Lau mengesahkan meskipun ibu pejabat Gerakan tidak pernah menerima sebarang dana daripada 1MDB sebelum ini.

Namun beliau tidak mengetahui sama ada partinya peringkat negeri atau cawangan ada menerima sumbangan daripada syarikat kontroversi itu.

“Bagi ibu pejabat, tiada rekod yang menunjukkan kami ada menerima dana daripada 1MDB tetapi saya tidak tahu sama ada di peringkat negeri atau cawangan kerana kami (ibu pejabat) tidak pernah masuk campur urusan akaun mereka,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Dominic, 1MDB hanya perlu mengemukakan bukti sah untuk menuntut semula dana yang telah diberikan kepada parti tersebut.

Sejak beberapa hari lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta MCA atau mana-mana parti politik yang pernah menerima dana daripada 1MDB untuk memulangkan semula wang tersebut.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengesahkan presiden parti terdahulu, Datuk Seri Chua Soi Lek pernah menerima dana sebanyak RM16.5 juta daripada 1MDB sebelum pilihanraya ke-13. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/08/terkini-mca-sila-pulangkan-balik-wang-1mdb-lim-guan-eng/

1 Komen

Comments are closed.