Ibu kepada dua kanak-kanak yang ditetak hingga mati di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan, di sini, malam tadi tidak menyangka suspek yang merupakan kenalan suaminya sanggup bertindak kejam terhadap anak-anaknya.
Ibu kepada dua kanak-kanak yang ditetak hingga mati di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan, di sini, malam tadi tidak menyangka suspek yang merupakan kenalan suaminya sanggup bertindak kejam terhadap anak-anaknya.

YAN – Ibu kepada dua kanak-kanak yang ditetak hingga mati di Kampung Tengah, Kuala Sungai Yan, di sini, malam tadi tidak menyangka suspek yang merupakan kenalan suaminya sanggup bertindak kejam terhadap anak-anaknya.

Noor Hasyelawati Yusoff, 37, berkata kedua-dua anaknya yang masih kecil itu tidak melakukan kesalahan kepada sesiapa pun, malah salah seorang daripadanya masih menyusu badan.

Menceritakan mengenai kejadian itu, Noor Hasyelawati berkata ia berlaku kira-kira 11.45 malam ketika dia baharu hendak tidur bersama dua anaknya itu iaitu Nurul Hanim Idris, 5, dan Mohammad Hafiz, setahun, di dalam sebuah bilik, manakala anak sulungnya Mohammad Hakim, 7, tidur bersama ibunya, Jamilah Ismail, 60, di bilik bersebelahan.

“Waktu itu saya baru masuk tidur dan terdengar suara seorang lelaki yang juga kenalan suami saya memanggil nama suami saya di luar rumah sebelum lelaki itu memecah masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur.

“Suami ketika itu tiada di rumah kerana pergi ke laut dan abang ipar saya yang tidur di tingkat atas rumah turun untuk melihat keadaan itu tetapi dilibas dengan parang dan cedera di pipi kiri,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Melihat keadaan itu, Noor Hasyelawati berkata dia bersama abang iparnya itu, Sobri Saad, 52, melarikan diri keluar dari rumah dan mendapatkan pertolongan daripada jiran.

Namun, selepas masuk semula ke rumah untuk mendapatkan anak-anaknya, suri rumah itu mendapati kedua-duanya telah meninggal dunia, namun bersyukur kerana anak sulung dan ibunya yang berada di bilik sebelah selamat.

Noor Hasyelawati berkata, selepas melakukan perbuatan kejam itu, suspek yang tidak bekerja melarikan diri dengan sebuah motosikal, namun berjaya ditangkap polis dengan bantuan penduduk kampung.

“Ketika dia keluar daripada rumah dia sempat menjerit kepada saya ‘anak hang dah selamat mandi darah dah’,” kata Noor Hasyelawati.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah berjaya ditahan sejurus selepas kejadian dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat dua beradik itu juga telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

— BERNAMA